"Aku
dah banyak melukakan hati kau. Dua tahun dah berlalu tapi aku masih dihantui
kisah hitam itu! Aku cuba menafikan keadaan tapi hakikatnya kau yang menanggung
segala bebanan itu! Aku juga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, biarlah aku
pergi dengan hati yang tenang. Aku takkan melarang kau membenci aku kerana
itulah hukuman yang selayaknya dan aku cuma insan lemah yang merayu untuk
dimaafkan. Maafkan aku, sayang. Aku sudah cukup terseksa, mungkin ini balasan
untuk orang seperti aku.’
Kiriman
emel itu dibaca dengan teliti. Perlahan gerak bibirnya meniti warkah yang terakhir
itu. Nampaknya ‘kisah hitam’ lalu berbangkit kembali. Dadanya kian berombak.
Mata yang berkaca tidak dapat disorokkan lagi. Dua tahun sudah berlalu, tapi
kasihnya pada lelaki itu belum dapat dilupakan. Dia menghela nafas panjang,
cuba mencari ketenangan disebaliknya.
Siti
Hanisah, gadis berusia 23 tahun merupakan seorang yang cekal meneruskan
kehidupannya. Meskipun kasihnya pernah dipermainkan, dia nekad untuk tidak
berdendam. Sejak hubungan mereka berakhir, Hanisah berharap agar lelaki itu
pergi jauh dari hidupnya. Meskipun kasih lelaki itu masih bersisa di hatinya,
dia berharap agar lelaki itu sedar akan kesalahan besarnya. Akhirnya
penantiannya terjawab, Amran sanggup mencari Hanisah kembali demi menuntut maaf
darinya. Dia tetap bersyukur.
‘Sudahlah,
Amran. Aku tidak pernah menyimpan dendam, malah kebencian yang lalu telah aku
bawa pergi bersama hati aku yang terluka. Akhirnya kau mencari aku juga. Itu
sudah cukup bererti untuk aku memaafkan kau. Kita lupakan kisah silam itu.
Sepertimana yang kau katakan, memang cukup berat beban yang dipikul oleh aku
selama dua tahun ini. Nasi sudah menjadi bubur, tak guna kita mengungkit lagi.
Aku berterima kasih atas cintamu, sayang. Lupakan saja kata-kata aku dahulu.’
Jari-jemari
runcingnya pantas membalas kiriman emel itu. Berbekalkan hati yang kecewa dan
terluka itu, dia cuba meluahkan segala isi hati yang tersembunyi. Hanisah
menarik nafas sedalamnya dan dihembus dengan perlahan, dia cuba mencari
ketenangan dan tidak mahu perasaan amarah menguasai dirinya. Otaknya yang dulu
sarat memikirkan suratan takdir yang tidak menyebelahinya kian berakhir.
SEND. Hanisah menarik nafas lega. Jari-jemari kiam bermain seketika. Sudah lama dia
tidak berbalas emel. Kalaulah ‘kisah hitam’ dua tahun lalu tidak terjadi,
mungkin mereka masih berbahagia. Lusa, genaplah tiga tahun usia perhubungan
Amran dan Hanisah.
Si gadis berhati lara ini dahulunya terlalu sukar menerima hakikat bahawa Amran tidak ditakdirkan
untuknya. Ah, itu semua sudah suratan Illahi. Bagaimanapun, selagi tiada kata maaf dari Amran, selagi itulah kebencian yang
tersimpan akan mengingatkan Hanisah pada Amran. Teringat kata-kata terakhir darinya untuk sang kekasih.
“ Aku bencikan kau! Kau
memang tak layak untuk berhidup baik! Segalanya telah punah kerana kebodohan
kau. Aku sayangkan kau! Malah cuba menerima baik kehadiran kau dalam hidup aku. Setelah aku percayakan kau, ini balasannya dengan merampas hak yang bukan milik
kau! Aku yang bodoh kerana salah membuat pilihan. Rupanya kau manusia yang bertopengkan syaitan! Pergi mampus dengan semua alasan
kau itu, aku tak mahu dengar lagi! Berambus! “
‘Adakah kau juga mampu
memaafkan aku atas ketelanjuran kata-kata aku dahulu? Huhh, mana mungkin kau akan
menyalahkan aku kerana kata-kata itu tidak setimpal dengan perbuatan terkutuk
kau terhadap aku dahulu! Ah, sudahlah. Segalanya telah berakhir. Syukur aku
kepadaMu, ya Allah.‘ Bisikan
hati itu membuatkan Hanisah bertambah kuat.

No comments:
Post a Comment